Sebut saja nama Yayasan Al-Bukhary, umum pasti mengetahui siapakah pengasas kepada salah satu yayasan badan kebajikan yang paling dikenali di Malaysia, iaitu Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhari.

Beliau merupakan salah seorang usahawan Islam yang terkaya di Malaysia dan merupakan jutawan ke-32 terkaya di Asia Tenggara menurut majalah Forbes. Di sebalik kelibatnya sebagai jutawan, Tan Sri Syed Mokhtar turut dikenali sebagai seorang dermawan dan aktif dalam kerja-kerja amal.

Beliau dilahirkan di Alor Setar, Kedah pada 12 Disember 1951, dan merupakan anak ketiga daripada tujuh orang adik-beradik. Sebelum menetap di Kedah, bapanya Syed Nor mengembara sehingga ke Asia Tengah untuk berniaga sebelum kemudian berpindah ke selatan Thailand.

Semasa di situ, bapanya berulang alik dari Sadao ke Hatyai sebelum memilih menetap di Kedah pada tahun 1940-an. Dalam satu temubual bersama The Star, Tan Sri Syed Mokhtar mengakui kehidupan semasa kecilnya berada dalam keadaan serba kekurangan.

Masa kecilnya dihabiskan dengan membantu keluarganya untuk menambah pendapatan harian bagi menampung kehidupan mereka sekeluarga. Ketika beliau masih di alam persekolahan, beliau sentiasa membantu ibunya menjual sayur-sayuran di Pasar Jalan Telok Wan Jah.

Manakala selepas pulang dari sekolah, beliau akan membantu bapanya menternak lembu dan kerbau di pusat kuarantin berhampiran dengan stesen keretaapi Alor Setar.

Menyentuh mengenai latar belakang pendidikannya, Tan Sri Syed Mokhtar bukanlah seorang yang berpendidikan tinggi berikutan mendapat pembelajaran sehingga Tingkatan Lima. Tetapi kekurangan itu ditampung dengan ilmu yang ditimba hasil dari pengalamannya membantu ibu dan bapanya di pasar dan membuat kira-kira.

Akibat terjadinya wabak kuku dan mulut pada haiwan ternakan bapanya yang menyebabkan kerugian besar, Tan Sri Syed Mokhtar membuat keputusan untuk mengambil alih perniagaan bapanya dan beralih kepada perniagaan daging lembu dan kerbau secara kecil-kecilan.

Beliau memulakan perniagaannya dengan membeli daging yang tidak terjual dipasar dan menjualnya kembali kepada mana-mana peniaga Bumiputera dan restoran sekitar Alor Setar. Ekoran kejayaan beliau dalam perniagaan barunya, ia memarakkan lagi azam beliau untuk bergerak lebih jauh dalam dunia perniagaan.

Setelah beberapa tahun, Tan Sri Syed Mokhtar memilih untuk beralih kepada perniagaan pengangkutan dan berjaya mendapatkan permit bagi empat buah lori kelas A. Melalui pinjaman MARA, beliau telah membeli dua buah lori Mercedes 911LS.

Di samping itu, Tan Sri Syed Mokhtar turut menubuhkan Syarikat Pengangkutan Sentosa dan lori-lori tersebut digunakan untuk memulakan perniagaan beras. Salah satu kontrak yang dimenanginya ialah kontrak membekalkan makanan kepada pihak tentera. Ini mendorongnya masuk ke kem-kem dan menjual beras pada masa sama.

Tan Sri Syed Mokhtar kemudiannya menempa nama apabila diberi peluang membangunkan Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP) dan kemudiannya pegangan kawalan dalam MMC Corp. MMC Corp kemudiannya menjadi salah satu daripada syarikat utama beliau. Menerusi MMC Corp, beliau berjaya menarik pemain-pemain industri perkapalan seperti Maersk Sealand (Denmark) dan Evergreen Marine (Taiwan) untuk beralih dari Singapura ke Malaysia.

Keadaan ini menyebabkan beliau dihormati pihak berkuasa negara ini. Selain itu, beliau juga terlibat dalam aktiviti penswastaan dan penyenaraian awam Johor Port Bhd dan pengkorporatan Lembaga Pembangunan Tanah Johor Tenggara (KEJORA) dengan sokongan ahli-ahli politik Johor termasuk Menteri Dalam Negeri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Kemudian beberapa tahun selepas itu, Tan Sri Syed Mokhtar bersama beberapa orang pemain industri mengintai-intai peluang mendapatkan pegangan saham strategik sebanyak 15.8% dalam DRB Hicom. Pertarungan untuk mendapatkan pegangan saham itu membabitkan dua pihak iaitu Tan Sri Syed Mokhtar dan Allahyarham Tan Sri S.M. Nasimuddin S.M. Amin (Kumpulan Naza).

Untuk mendapatkan pegangan tersebut bukan sesuatu yang mudah kerana Tan Sri S.M. Nasimuddin turut menubuhkan sebuah konsortium untuk menjayakan usaha pembelian. Antara anggota konsortium yang terlibat ialah bekas ketua firma pelaburan saham Nizam Razak dan Datuk Muhammad Azaham Wahab yang juga pengerusi syarikat pembinaan Merge Energy Bhd.

Untuk mencapai hasrat tersebut, kedua-dua pihak terlibat dalam kempen perang saraf bagi menunjukkan mereka berjaya. Tetapi dengan pelbagai kenyataan media yang muncul ketika itu, Tan Sri Syed Mokhtar yang kurang menggemari publisiti akhirnya bersuara. Beliau menegaskan urusan pengambilalihan saham strategik itu bersifat transaksi bisnes semata-mata dan semua proses telah dilalui untuk menjayakan urusan berkenaan.

Tan Sri Syed Mokhtar yang menggambarkan dirinya sebagai pemain jangka panjang turut menegaskan beliau bukan kroni ahli politik termasuk Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad. Ini kerana kebanyakan kontrak kerajaan yang dimenanginya dibuat secara adil dan saksama.

Walaupun ramai mengagumi pelbagai kejayaan yang diraihnya, tidak ramai tahu jerih-perih yang perlu dilalui apabila beliau ditimpa kegagalan. Menurut Tan Sri Syed Mokhtar, bukan sekali dua beliau berhadapan situasi sebegitu termasuk ditipu oleh ahli perniagaan lain.

Malah semasa krisis ekonomi 1997, nilai aset yang dimiliki beliau berkurangan dari RM3 bilion kepada RM600 juta. Ramai menganggap kerugian tersebut akan mendorongnya untuk berundur. Tetapi Tan Sri Syed Mokhtar terus berjuang dan berjaya kembali ke puncak kerana didorong rasa tanggungjawab menjaga aset-aset strategik Bumiputra dan menjaga kepentingan staf-staf yang bekerja dengannya.

Beliau masih ingat semasa menjalin kerjasama perniagaan dengan Ng Chiak Gee, seorang penjual nasi dan Chua Chong Tan, seorang pengeluar beras dengan dirinya memegang pegangan majoriti sebanyak 52%.

Tambahnya, itu merupakan perjanjian korporat pertama yang dimeterainya. Sejak itu, perniagaan yang diceburinya itu masih kekal sehingga hari ini dengan anak-anak dua rakan kongsinya itu meneruskan peranan sebagai rakan kongsi. Syarikat yang dikenali sebagai Tradewinds Corp Bhd itu kini merupakan antara pemain utama industri gula negara.

Sambil menyifatkan amat menyukai perniagaan yang dibina atas dasar kepercayaan, Tan Sri Syed Mokhtar tidak menggemari mesyuarat korporat yang menunjuk-nunjuk dan lebih suka ia dibuat secara senyap dan mudah. Kenalan politik dan perniagaannya menyifatkan beliau tidak mempunyai kehidupan sosial kerana terlalu sibuk menguruskan empayar perniagaannya itu.

Sehinggakan Tan Sri Syed Mokhtar hanya mendirikan rumahtangga semasa berusia 41 tahun pada tahun 1992. Hasil perkahwinannya dengan Puan Sri Sharifah Zarah menyaksikan mereka dikurniakan tujuh cahaya mata. Selain itu, beliau juga terus mengekalkan gaya hidup sederhana termasuk tidak mengembara dalam kelas pertama dan memandu sama ada kereta Mercedes Benz atau Proton Perdana.

Bila ditanya mengapa beliau memilih kehidupan sebegitu rupa, Tan Sri Syed Mokhtar berkata, “Saya tidak pernah berkelakuan seperti orang besar kerana semua orang tanpa mengira Melayu, Cina atau India sama saja. Perkara paling penting ialah kita harus konsisten dan berusaha keras untuk berada di puncak.

Tiada jalan pintas menuju kejayaan. Saya masih ingat bertemu dengan beberapa pegawai bank di New York. Mereka terus membaling kad nama mereka kepada saya tetapi saya tetap kekal tenang. Pada akhirnya, saya memenangi kepercayaan mereka melalui cara saya yang berhemah. Saya tidak pernah lupa asal-usul saya.”

Selain sibuk menguruskan empayar perniagaannya, beliau juga tidak pernah lokek menyumbang kepada kerja-kerja amal menerusi Yayasan Al-Bukhary. Hampir setiap tahun, yayasan itu menganjurkan majlis buka puasa sebanyak dua kali untuk menjamu 3,000 orang yang tidak berkemampuan.

Yayasan Al-Bukhary juga sibuk dengan projek-projek mereka termasuk pengurusan Muzium Kesenian Islam Malaysia yang dibuka pada tahun 1998. Pada tahun 2001, yayasan turut melancarkan Program Tuisyen Albukhary untuk membantu kanak-kanak luar bandar melepasi peperiksaan akhir tahun sekolah mereka.

Hasilnya sejak itu, lebih 80,000 pelajar dari 500 buah sekolah mendapat manfaat daripada program berkenaan. Yayasan Al-Bukhary turut menghulurkan bantuan bencana alam bagi mangsa-mangsa musibah gempa bumi di China, Pakistan dan Iran serta musibah tsunami di Indonesia pada tahun 2004.

Yayasan tersebut turut membina sebuah hospital AIDS di Uganda dan sebuah sekolah perempuan di Nepal serta menyokong Pusat Sains dan Teknologi Sarajevo. Dari tahun 1996 hingga 2006, yayasan itu telah menyumbang sebanyak RM1 bilion untuk tujuan amal.

Atas sebab inilah, tidak hairanlah mengapa Tan Sri Syed Mohktar telah dipilih sebagai Tokoh Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan Tahun 2008. Tetapi beliau juga melakukan sesuatu yang di luar jangkaan selepas menerima anugerah itu.

Selepas mendengar nasihat Perdana Menteri ketika itu Tun Abdullah Ahmad Badawi, Tan Sri Syed Mokhtar mendermakan hadiah anugerah berjumlah RM80,000 kepada ibunya. Beliau turut menyifatkan nilai-nilai yang diamalkan dalam kehidupannya itu telah diterapkan ibu bapanya sejak dari kecil lagi.

Beliau terus menjadi inspirasi kepada golongan muda di luar sana khususnya usahawan-usahawan yang baru berjinak-jinak dalam perniagaan. Betullah kata orang, setiap kejayaan itu pastinya bermula daripada pelbagai cerita dan pengalaman pahit. Untuk berjaya, seseorang individu itu perlu memiliki usaha dan keazaman yang tinggi, kecekalan dan sentiasa bersikap terbuka dengan rintangan yang mendatang. Kerana itulah resepi kejayaan yang paling efektif.

19 Prinsip Kejayaan Tan Sri Syed Mokhtar Albukhary

1. Jangan pentingkan diri sendiri

“Saya ada emotional attachment kepada agama, bangsa dan ummah. Saya bukan individualistik. Diri saya tidak penting. Pangkat dan gelaran itu kepada saya tidak mustahak.”

2. Kerja kuat untuk berjaya

“Saya malu kerana orang Cina kaya beratus-ratus kali ganda di bumi kita Malaysia. Ini kan Tanah Melayu. Tapi saya tahu orang Melayu kalau hendak berjaya, kena kerja kuat tidak kira siang dan malam. Kita ada kekuatan yang Allah beri melebihi daripada bangsa lain. Tetapi untuk maju kita perlu berusaha.”

3. Jangan malu untuk berjaya

“Saya asalnya tidak tahu apa-apa. Setiap orang yang mahu berjaya dan telah berjaya pada asalnya bermula daripada sifar (reset to zero). Apa yang saya tidak tahu, minta tolong daripada orang lain. Saya tidak malu. Saya bukannya mencuri. Saya usaha sendiri. Sikap pemalas dan pemalu ini yang orang Melayu kena atasi. Kita kena berani kerana benar. Apabila kita mendapat keuntungan dan rezeki lebih, bolehlah kita menolong orang.”

4. Anggaplah kekayaan itu hanya sementara

“Kaya itu bukanlah kepada diri sendiri. Kaya itu adalah kepada kumpulan perniagaan, kepada bangsa dan orang ramai. Jika kita kaya, kita hanya memegangnya hanya untuk sementara sahaja.”

5. Lakukan amal yang baik

“Jika kita kaya, usahlah kita hanya menyimpan kekayaan itu untuk anak dan isteri sahaja. Duit itu tidak akan kekal. Saya percaya hanya perkara yang baik yang kita lakukan akan kekal. Bukan duit yang akan melindungi kita nanti, tetapi apa yang kita lakukan sekarang.”

6. Bijak mencari peluang

“Saya perlu terus mencari peluang supaya saya terus dapat membantu orang lain mengembangkan diri masing-masing. Saya bukan buat semua ini untuk diri saya semata-mata.”

7. Yakinlah & jangan takut dengan diri sendiri

“Banyak orang percaya bahawa dia mesti ada RM10 juta atau RM20 juta dalam tangan baru hidup boleh selamat. Ini yang menyebabkan mereka hanyut daripada menolong orang lain. Mereka lebih takutkan diri sendiri. Mereka lupa bahawa kekayaan tidak boleh membantu selama-lamanya.”

8. Pergantungan kepada Allah SWT

“Jika kita mahu sesuatu, minta terus kepada Allah. Allah beri manusia akal dan fikiran. Kalau hendak pakai baju dan seluar, biarlah padan dengan badan sendiri.”

9. Bertanggungjawab atas apa yang kita lakukan

“Jika kita senang, kesenangan yang kita perolehi ini datang dengan tanggungjawab. Kita perlulah lakukan amal jariah. Walaupun sedikit, biarlah yang sedikit itu ada berkatnya.”

10. Berkongsilah kejayaan dengan orang ramai

“Saya suka kalau nikmati sedikit yang saya dapat itu dapat dikongsi bersama.”

11. Jangan mudah lupa diri

“Jangan mudah lupa diri kerana kejayaan atau kesenangan yang kita perolehi adalah milik Allah untuk kita gunakan ke jalan yang baik.”

12. Ambil masa untuk bertapak & mengekalkan kejayaan

Saya tertarik dengan kata-kata peninju terhebat, Muhammad Ali, katanya, “The man who views the world at 50, same as he did at 20. he has wasted 30 years of his life.” Renung-renungkan.

13. Jangan mudah putus asa

“Kita jangan cepat putus asa. Putus asa boleh, tapi kena cepat-cepat kuatkan semula semangat untuk bangkit semula. Jangan jadikan agama hanya satu tempat untuk kita bergantung apabila kita susah. Tanggungjawab ibadah adalah tugas seharian.”

14. Tiada yang mustahil (Nothing is impossible)

“Tiada sebab kenapa Melayu tidak boleh maju. Kita kena berani berperang dengan musuh diri kita sendiri iaitu nafsu. Nafsu akan sentiasa mendorong kepada perkara-perkara yang negatif. Tukarkan ia menjadi positif. Maka, anda telah berjaya melawan nafsu anda. Kalau saudara dan saudari jadi wartawan, saudara saudari kena tanam semangat suatu hari nanti mahu ambil alih akhbar itu. Tidak ada sebab kenapa ia tidak boleh berlaku.”

15. Gigih, tekun dan tidak mudah berputus asa

“Kejayaan dan kelemahan orang Melayu bukan disebabkan oleh bangsa kita dan agama kita. Ia berkait dengan sikap dan cara kita berfikir. Gigih, tekun dan tidak mudah putus asa adalah kunci kejayaan. Tapi perkara ini kurang wujud dalam cara orang Melayu berfikir.”

16. Percayalah! Allah sentiasa memberi peluang kepada orang yang berusaha

“Allah memberi peluang kepada sesiapa sahaja yang bekerja kuat. Apa yang ada pada kita hanya usaha. Kita boleh melakukannya, tiada yang mustahil untuk dilakukan selagi kita tidak mengatakan TIDAK.”

17. Jangan rosakkan diri kita dengan kemewahan

“Kita tidak usahlah selalu mengulang-ulang perkara yang boleh memberikan kesan psikologi negatif kepada orang Melayu. |Kita kene kurangkan bercakap tentang kereta dan rumah besar. Sesiapa pun mahu pakai kereta mewah tapi itu bukan matlamatnya.”

18. Merendah diri

“Sikap merendah diri perlu sentiasa ada dalam diri seseorang walau setinggi mana pun kejayaan dicapai.”

19. Bersyukur atas nikmat yang Allah berikan

“Saya terima apa sahaja nikmat yang diberikan oleh Allah. Tidak ada segelas air, ada setengah gelas pun saya bersyukur. Apa yang penting, kita perlulah berusaha.”

Leave a Reply