KUALA LUMPUR: Pengasas Berjaya Corporation Bhd (BCorp) Tan Sri Vincent Tan melepaskan jawatannya sebagai Pengerusi Bukan Bebas Bukan Eksekutif kumpulan itu yang berkuat kuasa Rabu.

Beliau yang menyambut ulang tahun ke-71 pada bulan lepas, akan menggalas tugas sebagai penasihat dan memberi nasihat kepada Lembaga Pengarah selain menyokong pertumbuhan kumpulan, kata BCorp dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia.

Perubahan lain Lembaga Pengarah yang menampilkan barisan baharu dengan kesemuanya wanita termasuk Tunku Tun Aminah Sultan Ibrahim Ismail sebagai Pengerusi Bukan Bebas Bukan Eksekutif dan Vivienne Cheng Chi Fan sebagai Ketua Pegawai Eksekutif/Pengarah Eksekutif Bersama.

Menurut kumpulan itu, Nerine Tan Sheik Ping dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif/Pengarah Eksekutif Bersama; Norlela Baharudin sebagai Pengarah Eksekutif; Chryseis Tan Sheik Ling selaku Pengarah Eksekutif; Dr. Jayanti Naidu G. Danasamy sebagai Pengarah Bukan Eksekutif; Penelope Gan Paik Ling sebagai Pengarah Bebas Bukan Eksekutif dan Datuk Leong Kwei Chun sebagai Pengarah Bebas Bukan Eksekutif.

Mengulas perubahan itu, Vincent menyifatkan barisan baharu Lembaga Pengarah BCorp sebagai paparan komitmen kumpulan untuk mengetengahkan usasha pemerkasaan wanita di tempat kerja.

“Saya yakin dengan keupayaan wanita dalam Lembaga Pengarah ini dalam mengemudi kumpulan ini ke tahap lebih tinggi,” katanya.

Beliau berkata tugas sebagai penasihat itu memerlukannya untuk terus terbabit dalam aktiviti kumpulan serta perniagaannya dan pada masa sama dapat menumpukan kepada yayasan kebajikannya, Yayasan MyFirst Home.

“Saya amat teruja dengan usaha mencari penyelesaian bagi membantu kalangan B40 memiliki rumah sendiri dan inilah alasan utama saya menubuhkan Yayasan MyFirst Home dengan sumbangan peribadi RM5 juta bagi pembiayaan kos permulaan serta operasi,” katanya.

Dalam pada itu, kumpulan berkenaan turut mengumumkan pelantikan Datuk Seri Robin Tan Yeong Ching sebagai Timbalan Pengerusi Bukan Bebas Bukan Eksekutif Berjaya Land Bhd (B-Land) dan Tan Peng Lam sebagai Pengarah Bebas Bukan Eksekutif B-Land, juga berkuat kuasa 1 Mac, 2023.

Selain itu, Syed Ali Shahul Hameed dilantik semula sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan B-Land dan Datuk Abdul Rahim Md Zin sebagai Pengarah Eksekutif Kumpulan B-Land manakala Datuk Robert Yong Kuen Loke kekal berkhidmat sebagai Pengarah Kanan Bebas Bukan Eksekutif B-Land.

— BERNAMA

Leave a Reply